Sunday, 26 February 2012

Wanita Dan Persolekan Bahagian 3


Bahagian 3: Hukum Wanita Memakai Bau-bauan

Hukum wanita memakai bau-bauan mempunyai beberapa keadaan. Adakalanya wajib, adakalanya sunat, adakalanya makruh dan adakalanya haram. Tidak sama seperti kaum lelaki, hukum memakai bau-bauan bagi lelaki adalah sunat.

a)Waktu wajib wanita berwangi-wangian
Hukum memakai wangian adalah wajib bagi wanita, iaitu ketika suami ada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami di waktu malam, hendaklah mereka lebih dahulu bersolek dan memakai wangi-wangian. Selain daripada tujuan tersebut tidak diwajibkan.

Nabi saw bersabda, maksudnya; “Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu (suami) memandang kepadanya sentiasa menyenangkan hati kamu...”-(An-Nasa’ie dari Abu Hurairah).

Menyenangkan hati di sini, ialah dalam semua segi. Dari segi akhlak, wajahnya dan dirinya sentiasa berhias, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami juga termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi kalau untuk keluar rumah, wanita dilarang bahkan haram bersolek dan mengenakan bau-bauan, kerana terdapat keterangan hadis melarang wanita memakai bau-bauan dan bersolek ketika keluar rumah.

Sabda Nabi saw, maksudnya; “Setiap wanita yang keluar rumah memakai bau-bauan, kemudian ia melewati di hadapan orang ramai (lelaki ajnabi) dan mereka tercium bau wanginya, maka hukum dan dosanya sama seperti ia berzina”-(Riwayat An-Nasa’ie, Abu Daud, At-Tirmizi, Al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Abu Musa Ashaari).

Waktu-waktu lain yang dilarang wanita berwangi-wangian ialah ketika hendak ke masjid bersembahyang jemaah. Sabda Rasulullah saw, maksudnya; “Apabila salah seorang kamu hendak ke masjid (bersembahyang jemaah), janganlah memakai bau-bauan”.-(Riwayat Muslim dari Zainab As-Saqafiah).

Nabi saw menasihatkan kaum wanita, sebelum mereka ke masjid supaya mandi lebih dahulu bagi menghilangkan bau wangian yang mereka pakai ketika ada di rumah.

Sabda Nabi saw, maksudnya; “Apabila wanita hendak ke masjid, hendaklah mandi dahulu sepertimana mandi janabat bagi menghilangkan bau wangi-wangian yang melekat di tubuh mereka (yang dipakai) semasa dalam rumah”-(Riwayat An-Nasa’ie dari Abu Hurairah).

Daripada keterangan hadis-hadis di atas dapatlah difahamkan, bahawa wanita digalakkan berwangi-wangian, bahkan wajib pula berwangi-wangian untuk suaminya. Ketika di rumah dan bersembahyang di rumah, hukumnya sunat kerana mengikut sunnah Nabi saw.

b)Waktu Sunat Wanita Berwangi-wangian
  1. Ketika berada di dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan suami.
  2. Ketika hendak bersembahyang dan beribadah dalam rumah, bukan sembahyang di masjid. Kalau untuk keluar ke masjid, terdapat hadis yang melarang wanita memakai wangi-wangian.
  3. Ketika menyambut tetamu wanita, sunat berwangi-wangian, kerana kalau berkeadaan busuk boleh menimbulkan perasaan kurang senang dan menyakiti perasaan tetamu.

Selaku seorang muslimah, hendaklah sentiasa kelihatan kemas, badan dan pakaian hendaklah tidak berbau busuk. Oleh itu, sunat bagi wanita memakai bau-bauan ketika berada di rumah atau ketika sesama wanita.

c)Waktu Makruh Wanita Memakai Wangi-wangian
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh para ulamak dan terdapat penjelasan di dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafi’ie dan Qaliyubi bahawa; “Makruh memakai bau-bauan ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi, pendapat itu telah ijmak oleh para ulamak.

d)Waktu Haram Bagi Wanita Berwangi-wangian
Khusus pada waktu-waktu tertentu wanita dilarang (haram) memakai bau-bauan. Waktu-waktu yang dilarang ialah ketika keluar rumah untuk ke majlis yang diluluskan syariat, di hadapan lelaki bukan mahram, tujuan memikat lelaki dan ketika ke masjid bersembahyang jemaah.

Rasulullah saw bersabda, maksudnya; "...seorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian keluar melewati di hadapan orang ramai (yang ada lelaki bukan mahram dengannya) di suatu majlis, maka wanita itu dikira sama dengan melakukan zina".-(Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmizi).

Sabda Nabi saw lagi, maksudnya; "Wanita yang memperlihatkan dirinya (keluar ke tengah masyarakat) dengan memakai perhiasan, di situ terdapat lelaki yang bukan mahram, maka ia tidak ubah seperti berada di dalam kegelapan hari qiamat, tanpa ada sedikit pun cahaya".-(Riwayat At-Tirmizi)

e)Beli Minyak Wangi Mahal Tidak Dianggap Membazir
Siapa yang membeli bau-bauan dengan harga yang mahal pun tidak dianggap membazir. Sabda Nabi saw, maksudnya; "Siapa membelanjakan sepertiga (1/3) hartanya untuk membeli bau-bauan, tidak dikira membazir".-(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jadi, di sini tidaklah salah kalau para wanita (muslimah) kita membeli alat-alat solek yang mahal-mahal dengan syarat digunakan bersolek untuk suami, melayan suami di rumah. Tapi apa yang berlaku sekarang ini, alat-alat solek yang dibeli mahal-mahal itu, bertujuan untuk memperlihatkan kecantikannya kepada orang lain. Digunakan untuk bersolek ketika ke pejabat, ke pasar, ke rumah kenduri kahwin, ke majlis-majlis sosial dan sebagainya. Tapi kalau di hadapan suami dan di rumah, baunya bermacam-macam jenis, termasuk bau ikan, bau bawang, bau kencing anak dan sebagainya.

------------------------------------------
Sekarang korang dah tau hukum berwangi-wangian bagi wanita, so cepat2lah berubah kerana Allah swt... Setiap larangan Allah pasti ada hikmah di sebaliknya samada nyata atau tidak. Sapelah kita ni untuk menolak suruhan Allah, kita ni manusia je, kalau Allah tidak menciptakan Nabi Adam, tentulah kita ini tidak wujud pun di alam semesta ini...

Seperti biasa, yang baik itu datang dr Allah, yg buruk itu dtg dr kelemahan diriku sendiri...
assalammualaikum...

No comments:

Post a Comment