Bismillahirrohmanirrahim
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
Assalamualaikum wbh
Lama rasanya tidak menulis untuk Laman Emjay. Maklumlah
bagaikan kain singkat, di tarik ke atas nampak peha dan di tarik ke bawah
nampak kemaluan. Saya masih menjawat jawatan pensyarah di UTM, insya-Allah saya
akan pencen lagi 5 tahun. Jadi apabila sibuk dengan pelbagai tugas hakiki,
terpaksalah yang ini dberikan keutamaan. Kini makmal-makmal di bawah kawalan
saya perlu dikemaskini mengikut 5S, menyebabkan tugas semakin bertambah. Namun
saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmatNya semoga saya dapat menulis dengan
lebih kerap.
Tidak lama dahulu seorang pembaca Laman Emjay diiznkan Allah
SWT untuk bertemu dengan saya. Dalam pertemuan tersebut hamba Allah yang saya
namakan Ahmad telah meminta izin untuk belajar dengan saya. Bagi saya mudah,
ilmu saya tidak banyak namun setiap ilmu yang diberikan Allah kepada saya akan
kelak disoal di akhirat “Emjay, apa yang telah kamu buat dengan ilmu yang Aku
berikan kepada kamu?”. Beratlah balasannya jikalau saya menjawab “Saya hanya
gunakan untuk diri saya sendiri”.
Di dalam pertemuan tersebut saya menceritakan kaedah saya
mengajar. Pada waktu dahulu saya mengajar seorang dengan seorang. Alhamdulillah
apabila nampak hasilnya saya lebih berkeyakinan. Selepas bertambah bilangan
orang yang ingin belajar, saya usahakan kumpulan yang terdiri kira-kira 5 – 6
orang. Rupanya apabila saya mengajar secara berkumpulan ini, pertemuan hanya
dapat berlaku untuk beberapa kali sahaja. Hasil dari setiap pertemuan juga
tidak sebagaimana yang diharapkan seperti jika saya mengajar secara berseorangan.
Saya dapati apabila mengajar secara berkumpulan, amat kurang pertanyaan yang
dikemukakan maklumlah setiap dari mereka malu untuk mengemukakan soalan kerana
akan diketahui oleh orang lain.
Kelas yang berlangsung bagi 2 orang juga menemui kegagalan
kerana mungkin antara dua orang ini juga malu untuk bertanya, mungkin kerana
takut rahsia diri diketahui orang lain.

