Thursday, 1 March 2012

Kisah Fatimah Dan Batu Pengisar

Suatu riwayat menyebut bahawa, suatu hari Rasulullah saw menziarah anaknya Fatimah dan didapatinya Fatimah sedang menangis.

Rasulullah saw bertanya anaknya; "Wahai Fatimah, apakah yang menyebabkan engkau menangis".

Jawab Fatimah; "Wahai ayahku, aku menangis kerana terlalu amat letih mengisar tepung untuk menyediakan makan untuk keluarga dan menjalankan kerja harian di rumah. Kalau boleh, tolonglah beritahu kepada Ali agar ia belikan seorang hamba bagi membantu kerja-kerja ini dan ia menjadi sebesar-besar kurnia kepada ku".

Mendengarkan pengaduan anaknya itu, Rasulullah saw sedih dan mengalirkan air mata. Lalu Baginda menghampiri batu pengisar tepung itu tujuan membantu anaknya menyelesaikan kerja mengisar tepung. Baginda mengambil segenggam gandum dan dimasukkan ke dalam tempatnya sambil membaca Bismillah.

Tatkala Rasulullah saw memasukkan gandum, lalu batu pengisar itu mengisar gandum itu dengan sendirinya tanpa diputar oleh tangan kekasih Allah yang mulia itu. Sambil ia mengisar gandum, batu itu bertasbih dengan suara yang amat indah sekali sehinggalah selesai semua gandum itu dikisarnya.

Setelah habis gandum itu, Rasulullah saw berkata kepada batu itu; "Diamlah wahai batu pengisar".

Ketika itu juga Allah mengizinkan batu pengisar itu bersuara dengan nada yang amat indah sekali. Kata batu itu; "Demi Allah yang mengutus mu sebagai Rasul dan sebagai orang yang paling amanah, sekiranya tuan menyuruh aku mengisar gandum di masyriq dan maghrib, nescaya aku akan kisar. Tapi, sesungguhnya aku tidak akan diam selagi engkau tidak menjamin akan ditempatkan aku di dalam syurga dan dijauhi dari api neraka oleh Allah".

Rasulullah saw berkata; "Wahai batu, walaupun engkau batu, tetapi engkau takut kepada api neraka".

Sahut batu itu; "Wahai Rasulullah, aku ada mendengar satu ayat daripada Al-Quran berbunyi;

Maksudnya; "Wahai orang beriman, jauhilah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarannya daripada manusia dan batu-batu. Di atasnya terdapat malaikat yang amat garang dan ia tidak pernah ingkar dengan perintah Allah"- Surah At-Tahrim ayat 6.

Dengan sifat belas kasihan, Rasulullah saw pun mendoakan keselamatan ke atas batu itu agar ia tidak tergolong ke dalam batu-batu yang menjadi bahan bakaran api neraka.

Setelah selesai Rasulullah saw berdoa, lalu Allah mengutuskan Malaikat Jibril kepada Rasulullah saw. Kata Jibril; "Wahai Muhammad, Demi Tuhan yang bagiNya segala pujian dan Maha Tinggi dan Mulia, Ia telah mengirimkan salam penghormatan kepadamu dan sekaligus berpesan; Berilah khabar gembira kepada batu pengisar itu bahawa Allah telah melepaskannya dari siksaan api neraka dan diletakkan bersama-sama batu-batu syurga dalam istana Fatimah di akhirat kelak. Ia akan mengeluarkan cahaya yang terang benderang bagai sinaran matahari di dunia ini".

Berita itu disampaikan kepada batu pengisar itu, sambil Rasulullah saw memandang kepada anaknya Fatimah dan berkata; " Wahai Fatimah, Allah boleh menghendaki batu pengisar itu bekerja dengan sendiri mengisar tepung bagi membantumu sepertimana yang engkau lihat tadi. Tapi Allah tidak mahu berbuat seperti itu, kerana Ia hendak memberi ganjaran pahala yang besar dan meninggikan darjatmu dalam syurga hasil daripada penat lelahmu memerah tenaga dan bekerja mengurus keluarga dan rumahtanggamu".

Sambung Rasulullah saw lagi; "Wahai Fatimah, kelebihan setiap wanita mengeluarkan peluh ketika mengisar tepung dan memasak roti (makanan) untuk dihidangkan kepada suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit (sebagai pendinding) di antara dirinya dengan api neraka (bagi menghalang dari panas api neraka). Jarak di antara satu parit dengan satu parit sejauh langit dengan bumi".

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya lantaran pedih kerana memotong bawang untuk dijadikan bahan masakan kepada ahli rumahnya, maka Allah akan membalas pahala sebanyak pahala orang yang menangis kerana takutkan Allah".

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang memintal benang, menenun dan menjahit pakaian untuk keluarganya, Allah akan mencatatkan kebajikan sebanyak jumlah benang yang ditenun (dijahit) dan dihapuskan (diampunkan) pula 100 kejahatan (dosa)".

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang menenun (menjahit) pakaian ahli keluarganya, Allah menetapkannya di tempat khas di atas takhta (di dalam syurga) di akhirat". Dalam riwayat lain disebut; "akan diberi ganjaran pahala sama seperti pahala memberi makan kepada 1000 orang yang sedang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian".

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminyak dan menyikat rambut, mencuci pakaian anak-anaknya, Allah akan membalaskan perbuatan kebajikannya itu dengan pahala sebanyak jumlah rambut anaknya yang disikat itu dan menghapuskan dosa-dosanya serta wajah kelihatan berseri-seri di akhirat".

"Wahai Fatimah, tiada yang lebih utama bagi seseorang wanita itu ialah berada dalam keadaan redha suaminya. Sekiranya suamimu tidak redha dengan kamu, nescaya aku tidak mendoakan untukmu. Ketahuilah, bahawa redha Allah terhadap seseorang wanita bergantung kepada keredhaan suaminya terhadapnya".

Kisah di atas diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang terdapat di dalam kitab "Syarah Uquddil Lujain Fi Bayani Huquqil Zaujain" oleh Syeikh Muhammad bin Umar An-Nawawi Bantaniyy.

Demikianlah ehsan dan kasih sayang serta keadilan Allah dan Rasulullah saw terhadap kaum wanita. Tempat dan kedudukan wanita di dunia, ada keadaan tertentu berbeza dengan lelaki, tetapi itu bukanlah kerana diskriminasi, tetapi sebagai meraikan watak, sifat dan kemampuan mereka terhadap sesuatu. Allah lakukan semua itu adalah kerana kasih sayang Allah kepada kaum wanita dan untuk menyelamatkan mereka di dunia dan khususnya di akhirat.

----------------------------

semoga dengan kisah di atas, bergembiralah hati seorang insan bernama wanita yang juga seorang isteri... sprt biasa yang baik itu semuanya dtg dari Allah, yg buruk itu semuanya dtg dari kelemahan diriku sendiri...assalammualikum... 

No comments:

Post a Comment