Bismillahirrohmanirrahim
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
Assalamualaikum wbh
Lama rasanya tidak menulis untuk Laman Emjay. Maklumlah
bagaikan kain singkat, di tarik ke atas nampak peha dan di tarik ke bawah
nampak kemaluan. Saya masih menjawat jawatan pensyarah di UTM, insya-Allah saya
akan pencen lagi 5 tahun. Jadi apabila sibuk dengan pelbagai tugas hakiki,
terpaksalah yang ini dberikan keutamaan. Kini makmal-makmal di bawah kawalan
saya perlu dikemaskini mengikut 5S, menyebabkan tugas semakin bertambah. Namun
saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmatNya semoga saya dapat menulis dengan
lebih kerap.
Tidak lama dahulu seorang pembaca Laman Emjay diiznkan Allah
SWT untuk bertemu dengan saya. Dalam pertemuan tersebut hamba Allah yang saya
namakan Ahmad telah meminta izin untuk belajar dengan saya. Bagi saya mudah,
ilmu saya tidak banyak namun setiap ilmu yang diberikan Allah kepada saya akan
kelak disoal di akhirat “Emjay, apa yang telah kamu buat dengan ilmu yang Aku
berikan kepada kamu?”. Beratlah balasannya jikalau saya menjawab “Saya hanya
gunakan untuk diri saya sendiri”.
Di dalam pertemuan tersebut saya menceritakan kaedah saya
mengajar. Pada waktu dahulu saya mengajar seorang dengan seorang. Alhamdulillah
apabila nampak hasilnya saya lebih berkeyakinan. Selepas bertambah bilangan
orang yang ingin belajar, saya usahakan kumpulan yang terdiri kira-kira 5 – 6
orang. Rupanya apabila saya mengajar secara berkumpulan ini, pertemuan hanya
dapat berlaku untuk beberapa kali sahaja. Hasil dari setiap pertemuan juga
tidak sebagaimana yang diharapkan seperti jika saya mengajar secara berseorangan.
Saya dapati apabila mengajar secara berkumpulan, amat kurang pertanyaan yang
dikemukakan maklumlah setiap dari mereka malu untuk mengemukakan soalan kerana
akan diketahui oleh orang lain.
Kelas yang berlangsung bagi 2 orang juga menemui kegagalan
kerana mungkin antara dua orang ini juga malu untuk bertanya, mungkin kerana
takut rahsia diri diketahui orang lain.
Setelah memahami kegagalan
kelas secara berkumpulan, kini saya menjalankan kelas secara
berseorangan atau secara berkeluarga. Secara berkeluarga, mereka kurang malu
untuk bertanya kerana masing-masing pun sudah sedia maklum dengan masalah
mereka masing-masing. Belajar secara suami isteri juga kurang bermasalah.
Secara berseorangan adalah paling baik kesannya. Perbincangan secara dua hala mudah
berlaku tanpa rasa malu diketahui orang lain mengenai masalah peribadi,
keluarga atau saudara maranya.
Dalam kaedah berseorangan atau berkeluarga ini saya perlu
mengulang setiap isi pelajaran kepada setiap mereka yang belajar. Mula-mula
dahulu rasa jemu juga namun inilah sahaja caranya saya mencari keredhaan Allah
mengumpul amalan untuk akhirat. Lagi banyak yang belajar lagi baik.
Banyaklah perkara meliputi diri Ahmad, isteri, anak serta
ibu bapa dan saudara mara yang dapat dikongsikan antara kami dalam setiap sesi
pertemuan tanpa rasa malu diketahui oleh orang lain. Saya pula perlu memegang
amanah untuk tidak menceritakan rahsia berkaitan Ahmad kepada orang ramai
termasuk isteri dan anak-anak saya. Namun dalam tulisan saya kali ini saya
hanya ingin mengupas satu bab yang berkaitan dengan anak Ahmad yang wajar
sekali dijadikan iktibar untuk kita semua.
Ahmad diberikan Allah seorang isteri serta beberapa anak dan
yang kecilnya adalah seorang perempuan berusia hampir 2 tahun. Isterinya
seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Ramai orang beranggapan bahawa beristeri / bersuami seorang doktor adalah
suatu keuntungan yang amat jelas kerana setiap penyakit yang dihadapi oleh
sesuatu keluarga akan dapat ditangani dengan mudah. Namun bagi saya adalah
tetap sama bagi yang beristeri bersuami doktor atau bukan doktor. Kini doktor
pun dalam usia awal empat puluhan pun ada yang mengalami masalah serius dengan
buah pinggang serta perlu didialisis setiap beberapa hari. Terdapat juga doktor
dengan pelbagai masalah kesihatan kronik lainnya.
Ahmad sebelumnya sudah diberikan anak lelaki dan apabila
Allah memberikan anak perempuan pertama, beliaub sangat gembira. Tambahan pula
anak perempuannya diberikan Allah rupa paras yang cantik. Apabila melihat anak
perempuan yang saya namakan Wati ini, Ahmad sangat senang hati lalu
terkeluarlah pujian khas untuk Wati. Semakin hari Wati membesar dan menyerlahkan
kecantikannya dan semakin banyak pujian diberikan oleh Ahmad dan juga
isterinya. Kedua-dua telinga Wati setiap hari disirami oleh pelbagai pujian
oleh Ahmad dan juga isterinya.
Dengan takdir Allah apabila Wati mencecah usia satu tahun,
Allah mengurniakan satu penyakit pada kedua-dua telinga Wati sehingga
menyebabkan telinganya mengeluarkan cairan seperti nanah dan berbau busuk.
Ahmad dan isteri sangat sedih. Wati kerap dibawa ke hospital untuk menjalani
pemeriksaan dan rawatan. Pelbagai diagnosis dilakukan oleh para doktor
termasuklah doktor pakar. Ada doktor yang mengatakan penyakit Wati sebagai
“Otitis Externa”. Pelbagai rawatan dan ubat yang diberikan namun penyakit
telinga Wati masih berterusan. Aduh sungguh sedih perasaan Ahmad dan isteri
melihatkan anak kesayangan yang diberikan Allah kelebihan kecantikan tetapi
kini menghidap penyakit telinga. Kelebihan isteri Ahmad sebagai seorang doktor
tidak dapat dimanfaatkan untuk memulihkan penyakit Wati.
Wati semakin membesar, setiap hari telinga Wati terus
menerima pujian dari ayah dan ibunya dan penyakit telinganya masih belum dapat
dirawat. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan bertukar bulan
namun penyakit telinga Wati masih belum dapat dipulihkan. Sedih Ahmad dan
isteri bukan kepalang memikirkan penyakit Wati. Berbagai persoalan bermain di
kepala. Adakah Wati akan membesar dan dewasa bersama dengan penyakit
telinganya?
Kini penyakit Wati sudah menjangkau 6 bulan. 6 bulan yang
amat menyedihkan. Kegembiraan menerima Wati hanya sekadar satu tahun sahaja.
Kini Ahmad dan isteri tidak sudah-sudah dirundung malang.
Tidak lama selepas itu Ahmad mula belajar di rumah saya.
Seminggu sekali Ahmad datang ke rumah saya di waktu malam. Ahmad serius dalam
mempelajari ilmu agama yang diajarkan. Kisah anaknya Wati in tidak diceritakan
kepada saya. Bila tiba bahagian pelajaran RIAK, saya pun mengajarkan ilmu ini
sebagaimana saya ajarkan kepada orang lain. Berikut adalah rumusan pelajaran
yang diberikan kepada Ahmad:
1. Riak
adalah “perasaan ingin dipuji oleh orang
lain”.
2. Riak /
bermegah / suka menunjuk adalah sifat Allah – Al Mutakabbir.
3. Membuat
sesuatu untuk dipuji adalah di larang dalam Islam dan perbuatan ini
menggambarkan pelaku mempunyai sifat riak.
4. Manusia tidak
layak dan tidak berhak untuk menerima pujian
kerana sesungguhnya manusia telah berikrar di dalam bacaan fatihahnya
pada setiap solat iaitu alhamdulillah hirobbil’alamin yang bererti “Segala puji
hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
5. Nabi
mengajarkan melalui hadisnya bahawa sekiranya ada manusia yang memuji kita,
hendaklah kita mengambil pasir lalu melontarkan pasir ini ke muka orang yang
memberi pujian ini. Hadis ini sungguh menjelaskan bahawa manusia tidak boleh
menerima dan memberi pujian kerana segala pujian HANYA milik Allah SWT
semata-mata.
6. Manusia tidak
boleh memuji manusia atau makhluk lain kerana hanya Allah yang layak menerima
pujian.
7. Melakukan riak
hanya merugikan dan mengundang pelbagai masalah. Fahamilah hadis berikut:
“Diriwayatkan daripada
Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang
(melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan
aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk
kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya”
(Bukhari & Muslim: 1720)
8. Sekiranya
manusia faham hadis berikut, semua manusia tidak akan melakukan riak kerana
riak amat merugikan serta menjadikan pelakunya syirik!! Abu Darda’ Ridzwanullah ‘alaihim meriwayatkan
bahawa Rasulullah pernah bersabda mafhumnya:
“Menghindarkan amal
dari digembar-gemburkan (diceritakan kepada orang lain), mengerjakannya lebih
sukar dari mengerjakan amal itu sendiri. Seseorang mungkin melakukan suatu amal
(soleh) lalu dicatat sebagai amal soleh yang dibuat secara “sir”
(senyap-senyap). Dengan itu pahala ganjarannya dilipat-gandakan sebanyak tujuh
puluh kali ganda. Tetapi syaitan tidak membiarkannya. Syaitan terus merasuknya
sehingga ia menceritakan dan menyatakan kepada orang lain. Maka catatan amal
itu pun ditukar kepada catatan amal
alaniah (terang-terang). Dengan itu ganjaran pahalanya (sebanyak tujuh
puluh kali ganda) dihapuskan. Kemudian syaitan terus mendesak orang tersebut
agar menyatakan lagi bagi sekian kalinya tentang amalnya. Maka ia sendiri pun
suka kalau disebut-sebut hal itu dan
terus menerus dipuji. (Akibatnya) catatan amalan tersebut sebagai perbuatan
amal alaniah dipadamkan dan ditulis sebagai perbuatan riak. Sebab itulah orang
yang paling bertakwa ialah orang yang paling melindungi agamanya. Sesungguhnya
riak adalah syirik”
(Hadis
riwayat Baihaqi)
9. Perbuatan
yang ikhlas adalah amalan yang diterima Allah iaitu perbuatan yang langsung
tidak mencari pujian dari manusia dan semata-mata mencari redha di sisi Allah
SWT semata-mata.
10. Elakkan perbuatan
memuji dan suka di puji.
11. Orang perempuan
ramai yang suka dipuji seolah-olah mereka ingin menjadi seperti Allah SWT.
12. Riak
dikategorikan Islam sebagai SYIRIK kerana manusia ingin memiliki sifat Allah
iaitu Al Mutakabbir. Memang Allah sahaja
yang berhak dipuji dan memang Allah SWT suka di puji.
Dalam perjalanan ke rumah, Ahmad bertaubat dan bertekad untuk tidak lagi memuji anaknya
Wati. Apabila bertemu isteri, beliau terus menasihati isterinya agar jangan
lagi memuji anak perempuan kesayangan mereka iaitu Wati. Isterinya menerima
nasihat tanpa bantahan.
Sebaik-baik Ahmad dan isteri tidak lagi memuji Wati, satu
keajaiban telah berlaku melalui rahmat Allah iaitu telinga Wati tidak lagi
mengeluarkan cairan. Telinga Wati telah pulih dengan begitu sahaja. Itulah
Allah SWT Tuhan yang berkuasa, mencipta dan mentadbir sekelian alam. Dengan
kuasaNya, apabila lubang telinga Wati tidak lagi menerima pujian dari ibu
ayahnya, terus sahaja Allah memberikan rahmatNya lalu sembuh. Selama tujuh 7
bulan Ahmad dan isteri menanggung azab melalui penyakit telinga bernanah yang
dialami Wati kini menjadi sejarah. Wati sembuh dan ubatnya ialah “jangan lagi
memberikan pujian kepadanya”.
Sesungguhnya Allah memang berkuasa, mengambil ubat yang
terbaik namun kalau Allah tidak mengizinkan, pastinya penyakit tidak akan
sembuh. Diantara mereka yang berurusan mengenai masalah atau penyakit mereka dengan
saya, ada yang selesai atau pulih dalam masa yang singkat tetapi ada yang amat
sukar untuk keluar dari masalah atau pulih. Ini semua adalah kehendak Allah SWT
dan pastinya ada sebabnya Allah menetapkan sedemikian. Itulah sebabnya dalam
kebanyakan hal seperti masalah/musibah atau penyakit, saya amat gemar sekali
mengingatkan bahawa kembali kepada mencari keredaan Allah dengan melaksanakan
suruhanNya serta menjauhi laranganNya adalah perkara terpenting.
Ada terdapat kes keluarga yang amat bermasalah dari segi
kewangan, apabila mereka yang terlibat menyedari kesilapan mereka dan mula
kembali kepada Allah, dengan mudah sahaja masalah kewangan yang kronik ini pun
selesai dengan izin Allah. Ada yang sudah menghidap kencing manis untuk belasan
tahun dengan mudah dapat pulih dengan
izin Allah. Begitulah Allah SWT dengan kekuasaanNya mentadbir manusia dan alam
ini.
Bagi kes Wati, apabila telinganya menerima sesuatu yang
bukan haknya iaitu pujian dari kedua ibu bapanya, Allah berikan penyakit
telinga. Begitulah juga apabila kemaluan yang Allah berikan digunakan di tempat
yang diharamkan, janganlah sedih apabila Allah mengurniakan pelbagai penyakit
kelamin seperti AIDS, siplis dan gonorea.
Sesungguhnya tentang tajuk artikel kali ini iaitu mengenai
ayat pertama surah Al Fatihah, hendaklah kita semua redha dan berikrar
sesungguhnya “segala puji hanya untuk Allah” dan bukanlah “segala puji hanya
untuk Allah dan anak aku dan isteri aku dan diri aku dan .....”. Kita semua
manusia sebagai hamba Allah sesungguhnya tidak layak untuk menerima pujian.
Sekiranya seseorang isteri berjaya masak makanan yang cukup enak dimakan oleh
ahli keluarga, ianya berlaku bukanlah kerana kehebatan isteri tersebut namun
adalah kerana anugerah rahmat dari Allah-lah yang menjadikan masakan tersebut
enak dimakan. Hujah ini adalah selari dengan maksud ayat An nisaak 79 “apa jua
kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan
apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.
Manusia sebagai hamba Allah diajarkan di dalam Islam sebagai
lemah dan digalakkan sekali untuk
berikrar mengesahkan bahawa dirinya adalah lemah melalui kalimah
Lahawlawala Quwatailla Billahil Aliyil Azim – “tiada daya dan upaya kecuali
daripada Allah belaka?
Sesungguhnya Emjay adalah tiada daya dan upaya kecuali
daripada Allah.
Sekian wassalam wallahuaqlam
Emjay
No comments:
Post a Comment